Home > Uncategorized > Si Penakut !

Si Penakut !

Takut……

Bercakap di khalayak ramai

Bersikap tegas

Membuat keputusan

Menukar pekerjaaan

Berseorangan

Meningkat usia

Memandu

Dan lain-lain lagi.

Adakah anda mempunyai perasaan takut seperti yang tersenarai di atas? Mungkin sebahagian daripadanya atau kesemuanya sekali atau lebih banyak lagi? Rasa takut seolah-oleh menjadi seperti satu wabak dalam kehidupan kita. Kita takut sesuatu permulaan, kita takut sesuatu pengakhiran, kita takut kejayaan, kita takut kegagalan, kita takut kehidupan, kita takut kematian, seolah-olah semua perkara kita takut. Mungkin disebabkan sejak dari kecil lagi kita sering dipertakut-takutkan dengan cerita-cerita hantu, orang-orang yang garang dan lain-lain lagi.

Saya juga pernah melalui perasaan takut untuk membuat satu keputusan yang besar dalam hidup. Tetapi perasaan takut itu dapat saya atasi dengan bantuan seorang sahabat.

Pada satu hari ketika fikiran saya sudah buntu kerana memikirkan satu perkara yang sangat rumit, tergerak hati saya untuk menemui seorang sahabat yang sudah lama tidak bertemu. Dia bekerja di sebuah syarikat multinasional yang besar sebagai seorang pengurus. Pejabatnya tidak jauh dari tempat saya bekerja. Saya mengenali dia melalui kawan sekolej saya dahulu yang kebetulan bekerja di tempat yang sama dengannya. Saya menjadi rapat dengannya dan sering bertukar-tukar fikiran mengenai apa-apa isu yang menarik perhatian kami.

Saya tahu dia selalu bekerja sehingga melewati waktu pejabat dan kadang-kadang hingga ke malam. Saya pernah bertanya kenapa rajin sangat bekerja walhal dua tiga tahun lagi dah nak pencen. Beliau hanya tersenyum tanpa memberikan jawapan. Sebab itulah saya sengaja memilih untuk menemuinya selepas waktu pejabat supaya tidak ada gangguan semasa berbincang nanti.

Dia seperti biasa sentiasa tersenyum apabila menyambut kedatangan saya di pejabatnya. Raut wajahnya menampakkan ciri-ciri seorang yang amat tenang. Selepas masing-masing bercerita mengenai situasi terkini diri dan keluarga , cerita seterusnya berkisar kepada keadaan negara dan dunia pula. Akhirnya perbualan tertumpu kepada pekerjaan dan hala tuju kehidupan. “ Mesti ada sesuatu hal yang penting datang berjumpa saya hari ni “, kata sahabat saya. Saya angguk-angguk kepala tanda setuju. Sebenarnya saya perlukan pandangannya mengenai satu keputusan yang perlu saya buat dengan segera.

Saya mula bercerita mengenai impian saya untuk berhenti bekerja makan gaji dan menjadi seorang usahawan. Tetapi saya sering diganggu oleh perasaan takut yang bermain didalam fikiran. Seolah-olah ada satu suara dalam kepala yang tidak henti-henti memberi tahu , “ Jangan berani-berani menukar situasi sekarang ini, tiada apa untuk kamu di luar sana, kamu tidak akan berjaya”. Suara yang sentiasa memberi amaran, “ Jangan mengambil risiko. Kamu tentunya akan membuat kesilapan, kamu akan menyesal nanti”.

Dia merenung tajam ke arah saya dan kemudiannya tersenyum. Tidak ada sebarang reaksi terkejut daripadanya seperti mana yang saya awal-awal lagi jangkakan. ” Sudah sampai masanya ”, kata sahabat saya ini, ” kamu ni bukan jenis orang yang suka mengambil arahan dari bos, lagi pun baguslah ada orang Islam berniaga ”, sambungnya lagi. Saya rasa ini pandangan dia terhadap diri saya hasil dari interaksi antara kami selama ini. ” Insyaallah saya boleh ketemukan dengan seseorang yang boleh membantu mengatasi perasaan takut tu, jangan risau ”, katanya lagi sambil mencari-cari sesuatu di antara fail-fail dan buku-buku di atas meja.

Saya agak dia sedang mencari kad nama kenalan-kenalan pakar motivasi atau kawan-kawan yang berpengalaman yang boleh membantu saya. ” Hah ini dia , sudah jumpa pun orang itu, sekarang masaalah kamu akan selesai ”. Amboi kata saya dalam hati, bergurau ke sahabat aku ni. ” Sekarang pandang sini, inilah orangnya ” , kata sahabat saya sambil menunjukkan satu cermin muka besar kepada saya. Saya melihat wajah saya sendiri dalam cermin itu, wajah kerisauan dan kurang keyakinan diri, wajah yang menunjukkan ada perasaan takut. ” Itu lah orang yang dapat menolong kamu, orang lain hanya boleh membantu sikit-sikit tapi yang betul-betul dapat membantu kamu ialah orang dalam cermin ini, faham tak ? “ .

Sebenarnya itulah titik permulaan bagi saya untuk berubah. Saya seperti mendapat satu kekuatan baru. Satu kesedaran yang pelik lagi ajaib muncul memberikan kelegaan dan ketenangan kepada saya. Tanpa saya sedari, saya telah membuka pintu kepada kekuatan dalaman diri saya yang selama ini seolah-olah tidak pernah wujud. Suara negatif yang selalunya sangat dominan itu tidak bersuara kali ini seolah-olah bersembunyi dari saya, sekurang-kurangnya untuk sementara waktu ini. Satu suara baru yang positif mula mengambil tempat . Suara yang memberikan keyakinan dan kekuatan diri.

Categories: Uncategorized
  1. April 27, 2010 at 10:38 am

    RE: voters and be reminded of their UNDELIVERED sweet promise that has turned bitter pills to swallow…hehehe
    (^_^)

    • April 28, 2010 at 6:23 am

      Politicians are supposed to say one thing but meant for everything 🙂

  2. Batista
    April 28, 2010 at 6:05 am

    Sekarang masih takut?

    • April 28, 2010 at 6:27 am

      Bila kita dapat atasi perasaan takut dalam satu situasi, perasaan takut dalam situasi itu hilang. Tetapi bila kita maju setapak lagi dalam situasi baru yang asing, perasaan takut akan menjelama kembali tetapi magnitudenya akan berkurangan berbanding sebelumnya. Dari pengalaman-pengalaman mengatasi perasaan takut sebelumnya, tentunya rasa takut dalam situasi terbaru ini boleh diatasi dengan lebih mudah. Dan begitulah seterusnya…. as long as you move forward, fear will always waiting for you!

  3. August 18, 2010 at 11:32 pm

    Saya sudah 80% siap menulis ebook mengenai ” Si Penakut ” ni that is saya sendiri yang akhirnya berani membuat satu keputusan yang menukar hala tuju hidup saya 🙂

  1. No trackbacks yet.

Leave a reply to AhmadFauzi Cancel reply