Ebook : Rahsia Usahawan PKS

August 16, 2010 2 comments

Saya telah melancarkan ebook mengenai bagaimana saya bermula menjadi usahawan 12 tahun dahulu.  Klik disini untuk view.  http://www.usahawanberjaya.com

Saya telah memulakan langkah saya di dalam bidang keusahawan dengan membuka sebuah perniagaan kecil. Ianya adalah sebuah syarikat pemprosesan makanan. Bunyinya agak tidak menarik bukan? Tetapi.. Alhamdulilah.. selepas10 tahun, syarikat kecil saya itu kini, telah berjaya melepasi angka jualan sebanyak RM1 juta setiap tahun.

Bukan itu yang saya mahu banggakan disini. Tetapi apa yang ingin saya kongsikan dengan anda disini, ialah tentang pengalaman saya bergelumang di dalam dunia keusahawan selama lebih 10 tahun ini.

Banyak perkara dan pengalaman yang telah saya lalui, ada gembira, sedih dan duka. Kesemuanya memberikan saya semangat dan insipirasi untuk terus “berusaha” dan juga “melawan” di dalam dunia keusahawanan ini.

MENGAPA GAGAL?

Selama 12 tahun ini juga, saya melihat ramai rakan-rakan lain yang turut menceburi dunia perniagaan dan keusahawan. Ada yang berjaya, tetapi ramai juga yang gagal. Kebanyakkan kegagalan itu berpunca dari perkara-perkara yang sepatutnya seseorang usahawan itu boleh elakkan jika mereka bertanya kepada usahawan lain yang lebih berpengalaman.

Kadangkala, saya terfikir untuk memberikan sepatah dua tips dan panduan kepada mereka, tetapi, siapalah saya? Orang tak minta takkan kita pandai-pandai nak beri nasihat? Nanti dikata kita “berlagak” pula? Tetapi, di dalam hati ini, membuak-buak untuk saya berkongsikan serba sedikit pengalaman saya tentang dunia keusahawanan.

Jadi, saya fikir, adalah lebih baik jika saya bukukan sahaja pengalaman saya ini. Jika ada yang berminat, bolehlah baca, manakala bagi yang tidak berminat, mungkin boleh beritahu rakan , adik-beradik atau saudara mara lain yang berminat.. 🙂

MEMPERKENALKAN EBOOK USAHAWAN BERJAYA!

Setelah beberapa bulan mencuri-curi masa untuk menaip di komputer, maka, akhirnya, siaplah sebuah ebook yang penuh dengan kisah, pengalaman , nasihat serta tips-tips dari saya berkenaan dunia keusahawanan. Harapan saya, semoga ebook ini dapat memberikan serba-sedikit membantu para usahawan atau bakal usahawan di dalam untuk membuat keputusan mengenai hala tuju kehidupan mereka di dalam dunia keusahawanan.

UNTUK SIAPAKAH EBOOK INI?

Ebook “Usahawan Berjaya” ini sebeanrnya, saya tulis untuk beberapa golongan, iaitu…

Untuk seorang ibu atau bapa, ebook “Usahawan Berjaya” ini boleh diberikan sebagai bahan bacaan untuk anak-anak anda diperingkat sekolah menengah untuk menimbulkan minat mereka menjadi seorang usahawan.

Untuk seorang pelajar di pusat pengajian tinggi, kolej atau sedang menjalani kursus dan latihan kemahiran, ebook “Usahawan Berjaya” ini boleh menjadi panduan untuk anda membuat persediaan dan memilih keusahawanan sebagai satu kerjaya disatu masa nanti.

Untuk graduan yang baru sahaja menamatkan pengajian anda dan telah membuat keputusan untuk bekerja dahulu sebelum menceburi bidang keusahawanan, ebook “Usahawan Berjaya” ini boleh membantu anda membuat pilihan kerja sebaik yang mungkin bersesuaian dengan impian anda untuk menjadi seorang usahawan kemudian nanti.

Untuk seorang pekerja yang mempunyai impian untuk menjadi seorang usahawan, ebook “Usahawan Berjaya” ini boleh dijadikan sebagai panduan dalam persediaan untuk menceburi dunia perniagaan secara sistematik.

Untuk seorang usahawan yang baru bermula, ebook “Usahawan Berjaya” ini boleh membantu anda membuat keputusan-keputusan perniagaan yang betul dan mengelakkan daripada melakukan kesilapan-kesilapan yang mungkin timbul.

Untuk seorang usahawan seperti saya, ebook “Usahawan Berjaya” ini tentunya boleh dijadikan sebagai media untuk ‘ bertukar-tukar ‘ nota ( comparing notes ) yang boleh memantapkan lagi perniagaan anda.

APAKAH ISI KANDUNGAN EBOOK INI?

Isi kandungan ebook “Usahawan Berjaya” ini disusun secara sistematik dengan gaya bahasa yang mudah berdasarkan pengalaman saya dalam memahami makna sebenar Usahawan : Usaha dan Melawan. Antara topik-topik yang utama ialah :

Topik Usahawan PKS memberi informasi berkenaan senario Perusahaan Kecil dan Sederhana ( PKS ) di Malaysia , tip memilih bidang perniagaan yang paling sesuai, model perniagaan dan konsep JIT, rakan kongsi, mentor dan tip-tip daripada mentor, impian dan keajaiban, menangani perasaan takut dan bagaimana saya memulakan perniagaan.

Topik Pengalaman Menjadi Usahawan menceritakan peringkat-peringkat tertentu kehidupan saya sebagai seorang usahawan PKS sejak dari tahun 1998 sehingga 2009. Kisah suka-duka, kejayaan-kekecewaan, pengiktirafan, dan sebagainya.

Topik Masa Yang Sesuai Menjadi Usahawan berkisar kepada pepatah Dimana Ada Krisis, Di Situ Juga Ada Peluang , teori kuadran aliran tunai yang memberi impak kepada kehidupan, peranan pelanggan dan pembekal dalam kehidupan kita.

Topik Usahawan Impian pula memberikan panduan dalam proses mencari, mencipta, membina dan memberi hala tuju impian anda kearah menjadi usahawan impian yang berjaya.

Topik Keghairahan ( Passion ) yang menjadi pendorong untuk merealisasikan impian menjadi usahawan, perniagaan berteraskan keghairahan, dan tip-tip bimbingan yang anda perlukan.

Topik Keusahawanan pula mengajak anda membuat kuiz mudah keusahawan, mengetahui 5 Panca indera dalaman seorang usahawan, mitos mengenai usahawan, alasan utama menolak menjadi usahawan, sifat-sifat utama, kemahiran dan personaliti seorang usahawan dan alasan-alasan utama kenapa saya memilih untuk menjadi seorang usahawan.

Topik Memulakan Perniagaan memberi jawapan kepada faktor faktor penghalang untuk memulakan perniagaan, persediaan dan pendekatan memulakan perniagaan.

Topik Kegagalan Usahawan-Usahawan pula memberikan sebab-sebab utama usahawan-usahawan gagal dalam perniagaan.

Topik Pelan Perniagaan memberikan garis panduan bagaimana membuat pelan perniagaan yang berkesan untuk perniagaan anda.

BELAJARLAH DARI PENGALAMAN ORANG LAIN!

Saya tidak menjanjikan anda akan terus berjaya dengan cemerlang selepas membaca ebook ini. Tetapi apa yang boleh saya katakan, ianya akan membantu memendekkan masa anda untuk berjaya. Anda tidak perlu mengulangi kesilapan-kesilapan yang sama yang pernah saya lakukan. Anda hanya perlu baca dan jadikan ia sebagai pengajaran supaya anda tidak mengalami masalah yang sama. Bukankah ianya lebih mudah dan menjimatkan masa, tenaga dan wang anda?

Kata cerdik pandai, belajar dari pengalaman orang lain adalah lebih mudah berbanding belajar dari pengalaman sendiri. Saya pasti anda juga setuju mengenainya. Jadi, apa kata anda dapatkan ebook ini bila dilancarkan nanti dan bacalah sendiri pengalaman 12 tahun perniagaan orang lain. Saya pasti anda akan belajar sesuatu darinya.. 🙂

Categories: Uncategorized

Anda Yang Dahulu, Anda Yang Baharu !

June 10, 2010 Leave a comment

Awan mendung nampaknya sudah mula berarak pergi. Kehidupan mula berubah dan semakin dibawah pengawalan saya. Saya tidak mahu lagi kembali kepada situasi menjadi mangsa keadaan. Saya mahu mempunyai kekuatan dalaman. Saya mahu bergerak ke kanan dalam carta perubahan dari kesengsaraan kepada kekuatan. Pemikiran positif menjadi agenda utama setiap hari. Penghijrahan yang sepatutnya sudah lama saya lakukan.

Ketika saya amat teruja untuk meneruskan tindakan-tindakan positif yang seolah-olah seperti kemunculan kumpulan kunang-kunang bercahaya yang menerangi malam gelap, walau pun saya amat mengharapkan bulan purnama, saya dapati seperti ada sesuatu yang tidak kena. Ada orang-orang yang penting dalam hidup saya ; adik-beradik, saudara-mara, kawan-kawan dan rakan-rakan sekerja seperti tidak menyukai perubahan diri saya. Adakah saya amat berubah? Apa yang berlaku?

Saya menceritakan keadaan terkini saya ini kepada sahabat saya. ” Apa sebenarnya yang berlaku ? ”, tanya saya. ” Apa yang berlaku? ”, jawab sahabat saya. ” Tanyalah diri kamu sendiri dulu apa yang berlaku”, sambungnya lagi. ” Macam biasa saja, macam ni lah saya, tak semakin kurus tak semakin gemuk ”, jawab saya dengan nada bergurau.

Saya memberitahunya bahawa saya tidak merasakan terlalu banyak yang berubah. Cuma sekarang saya kurang berminat untuk bersembang-sembang kosong yang saya anggap tidak memberi menafaat, kurang memberi perhatian apabila saudara-mara yang datang berkunjung bercerita mengenai masaalah-masaalah remeh-temeh keluarga dan apa-apa sahaja perkara yang saya anggap negatif.

Hari itu saya mendapat penjelasan yang panjang-lebar dari sahabat saya. Orang-orang yang rapat dengan saya samada ahli keluarga atau pun rakan-rakan sekerja dan kawan-kawan, sudah biasa dengan saya yang dahulu. Corak interaksi saya dengan mereka sudah menjadi satu kebiasaan bagi mereka.  Apabila mereka mendapati corak ini berubah, mereka menjadi tidak selesa. Ianya menjadi satu kejutan kepada mereka.

Walau pun magnitud kejutan ini tidak sama untuk setiap orang, tetapi ianya tetap satu kejutan. Saya amat memahami kejutan yang dimaksudkan oleh sahabat saya itu. Saya pernah mengalaminya semasa saya mula-mula sampai di Amerika Syarikat untuk melanjutkan pelajaran. Pada masa itu umur saya lapan belas tahun. Saya orang kampung dari Terengganu dan kejutan budaya memang membuatkan saya kurang selesa pada mulanya.

Bersambung……….

Categories: Uncategorized

Mangsa Keadaan

Minggu ini sahabat saya agak sibuk dengan minggu penilaian ( appraisal ) prestasi staf-staf dibawahnya. Pengurusan disyarikatnya membuat keputusan untuk membuat penilaian prestasi lebih awal pada tahun ini. Mungkin pihak syarikat hendak membuat persediaan lebih awal untuk kenaikkan gaji dan bonus. Saya pun akan membuat penilaian prestasi terhadap staf-staf dibawah tanggung-jawab saya. Ada tiga eksekutif kejuruteraan dan lima belas mekanik. Saya faham apa yang akan dilalui oleh sahabat saya. Sesetengah pengurus hanya mengambil tugas ini sebagai satu rutin tahunan sahaja.

Buat masa sekarang ini, saya pula sibuk dengan persiapan bagi lawatan beberapa orang VVIP daripada ibu pejabat di Switzerland. Saya tidak akan mensia-sia peluang untuk bertemu dengan Ketua Pegawai Eksekutif ( CEO ) yang baru ini secara peribadi. Banyak cerita kehebatan beliau yang saya dengar.

Seminggu kemudiannya, saya berkunjung kerumah sahabat saya di Kuang. Saya menceritakan berkenaan pengalaman saya berbual dengan CEO tersebut semasa lawatan beliau. Walau pun perbualan itu tidak lama, maklumlah beliau sangat sibuk dengan urusan-urusan rasmi sebelum bertolak melawat beberapa lagi syarikat-syarikat di Asia Pasifik seperti di Jepun, Singapura, Filipina, dll, tetapi yang lebih penting ialah saya telah berjaya mengatasi perasaan takut dan rasa rendah diri saya untuk berbual dengannya.

Saya telah bertanya mengenai Pengurusan Risiko ( Risk Management ) oleh seorang yang menguruskan sebuah syarikat makanan terbesar di dunia ini. Dia tidak terus menjawab soalan saya, sebaliknya dia bertanya samada saya bekerja dalam jabatan kewangan? Saya memberitahunya bahawa saya adalah pengurus kejuruteraan. Banyak yang beliau jelaskan, antaranya ialah beliau bertanggung-jawab terhadap 225,000 pekerja, 489 kilang dan pejabat di 102 negara di dunia ini. Adakah beliau ini seorang yang amat berani?  Beliau adalah seorang graduan dalam bidang ekonomi di Austria dan mula bekerja sebagai seorang wakil penjual di syarikat makanan ini.

” Tentulah dia tu seorang yang mengambil tanggung-jawab dalam hidupnya dan bukan seorang yang menjadi ” mangsa keadaan ”, kata sahabat saya. ” Kebanyakkan kita merasakan bahawa kitalah orang yang bertanggung-jawab mengenai kehidupan kita sendiri tetapi pada hakikatnya tidak. Ini kerana kita menjadi mangsa keadaan tanpa disedari. Kita samada tidak sedar mengenainya atau pun kita menipu diri sendiri. Mentaliti orang-orang seperti ini tidak jelas dan dalam pelbagai bentuk ”, sahabat saya memulakan mukadimah paginya.

bersambung………………..

Categories: Uncategorized

Pemikiran Positif

Kajian menunjukkan lebih 90% perkara-perkara yang menjadi kerisauan kepada kita tidak pernah berlaku. Ini bermakna kebimbangan-kebimbangan yang negatif itu hanya mempunyai 10% sahaja peluang untuk berlaku. Jika demikian, ini juga bermakna, berfikiran positif adalah lebih realistik daripada berfikiran negatif.

Kenapa saya membawa isu ini ? Ada cerita disebalik isu ini yang hendak saya kongsikan. Saya bersama-sama keluar makan tengahari dengan rakan-rakan pejabat. Ini sebagai menunaikan janji saya setelah menolak pelawaan mereka dua minggu yang lalu. Kali ini saya akan berbelanja untuk mereka semua. Itu memang janji saya.

Sambil menikmati makanan dan minuman, kami bersembang pelbagai perkara. Tidak terkecuali isu-isu hangat semasa termasuklah isu prestasi pasukan bola sepak kebangsaan. Seorang rakan yang memang kaki bola sangat teruja memberikan pendapat mengenai pemain-pemain bola sepak negara. Tiada semangat kenegaraaan, manja, lembik, mata duitan dan macam-macam lagi.

Apabila saya memberikan pendapat dari sudut yang positif, rakan saya menjadi semacam hilang sabar dan menjadi marah. Bukan marah pada saya tetapi marah terhadap keseluruhan persatuan bola sepak Malaysia. Saya faham akan kekecewaannya. Bagi saya, orang yang betul-betul ambil tahu mengenai sesuatu perkara itu akan bersifat begini.

Umur kami hampir sama. Semasa kanak-kanak, kami telah melalui zaman kegemilangan Pesta Bola Merdeka dimana pasukan-pasukan seperti Korea Selatan, Jepun, Thailand, Iraq, Iran, dll adalah pasukan-pasukan yang sentiasa mengambil bahagian. Pasukan Malaysia pula tidak mempunyai masaalah untuk mengalahkan mereka semua. Pemain-pemain seperti Mokhtar Dahari, Soh Chin Aun, Namat Abdullah, Arumugam, Syed Ahmad, dll sentiasa mengharumkan nama negara. Malah pasukan Malaysia juga pernah beraksi di Sukan Olimpik. Sekarang apa sudah jadi? Tanya rakan saya itu.

Cuma apa yang saya ingin tekankan ialah apa salahnya saya melihat sesuatu itu dari sudut yang positif. Saya juga meminati sukan bola sepak. Semasa menuntut di Amerika Syarikat, saya telah bermain untuk pasukan universiti dalam pertandingan Northern California Inter-Collegiate Soccer Tournament.

Saya juga pernah merasa sedih dengan situasi sukan bola sepak Malaysia tetapi itu tidak bermakna saya tidak boleh menikmati keseronokkan sukan ini. Saya berkata, berilah lagi masa kepada mereka untuk meningkatkan prestasi. ” Sampai bila-bila pun team Malaysia ini tak akan berubah ”, jawab rakan saya itu. Rakan saya itu berkata saya tidak bersikap realistik. Saya bertanya, apa yang membuatkan pemikiran negatif lebih realistik?  Dia tidak menjawab.

Saya menjelaskan kebanyakkan kita suka beranggapan sesuatu yang negatif itu realistik dan pemikiran positif pula tidak realistik. Isunya bukan samada realistik atau tidak. Isunya ialah kenapa kita mesti berfikiran negatif dan menjadi emosional dan marah mengenai sesuatu sedangkan kita boleh memilih untuk menikmati keseronokkan sukan bola sepak. Sekiranya berfikiran positif boleh menjadikan kita dan orang-orang disekeliling kita gembira, kenapa mesti kita menolak berfikiran positif ?

Memang betul konsep pemikiran positif adalah satu perkara yang amat sukar untuk disampaikan kepada orang lain. Tiada apa pun yang realistik atau tidak realistik , yang ada ialah apa yang kita fikirkan mengenai sesuatu situasi yang kita hadapi itu. Kitalah yang mencipta realiti kita sendiri. Akhirnya dia bersetuju dengan apa yang saya jelaskan. Semua orang sudah kenyang. Saya pun sudah membayar bil-bil. Kami semua beredar balik ke pejabat.

bersambung………………….

Categories: Usahawan

Masa Yang Sesuai Memulakan Perniagaan?

April 28, 2010 Leave a comment

Masaalah Ekonomi Dunia

Pada tahun 2009, kita telah sedikit-sebanyak mendengar tentang masaalah ekonomi dunia yang disebabkan oleh masaalah pinjaman perumahan tidak berbayar di Amerika Syarikat oleh peminjam-peminjam ’ SubPrime ’ atau mereka-mereka yang sebenarnya tidak berkelayakkan untuk mendapat pinjaman perumahan melalui kaedah pinjaman yang biasa atau ’ Prime ’.

Bank yang mengambil risiko yang tinggi untuk memberi pinjaman, telah mengenakan kadar faedah yang tinggi dan pelbagai cara ( pinjaman subprime ) untuk menimbal balik risiko ini. Risiko tinggi keuntungan tinggi?

Oleh kerana spekulasi dalam sektor hartanah telah menaikkan nilai harga rumah yang tinggi, ramai peminjam di Amerika Syarikat telah membuat pinjaman semula ( refinance ) rumah mereka dengan harga yang lebih tinggi untuk pelbagai tujuan seperti berbelanja atau pun membeli rumah lagi. Bank pun tak kisah sebab mereka pula menjualkan ’ pinjaman-pinjaman subprime’ ini kepada institusi pelaburan yang besar yang beroperasi di Wall Street iaitu pasaran saham di Amerika.

Syarikat-syarikat pelaburan ini pula mendapat ramai pelabur-pelabur bukan sahaja dari Amerika tetapi juga dari seluruh dunia yang ingin mendapat keuntungan yang cepat dan besar dalam sektor hartanah.

Begitulah impian kebanyakkan rakyat Amerika yang ingin hidup mewah diluar kemampuan mereka. Apabila berpeluang untuk mendapat kemudahan kredit yang senang dan cepat, mereka terus merebutnya tanpa berfikir panjang. Tambahan pula, kerajaan Amerika juga menyediakan institusi-institusi jaminan pinjaman seperti Fannie Mae dan Freddie Mac.

Namun begitu langit tidak selalu cerah di Amerika Syarikat. Dengan kenaikkan harga minyak mentah dan kos sara hidup yang tinggi tetapi gaji yang tiada peningkatan antara sebab-sebabnya, kebanyakkan peminjam-peminjam tidak mampu lagi membayar pinjaman yang tinggi. Ramai peminjam yang menjadi muflis dan kehilangan rumah-rumah mereka. Pasaran hartanah mula merudum dan jatuh dengan teruknya. 

Kemudian kita juga dikejutkan dengan kejatuhan dan perisytiharan muflis oleh beberapa buah syarikat mega yang terlibat dengan aktiviti-aktiviti berkaitan dengan pinjaman Sub-prime seperti bank-bank yang memberi pinjaman dan juga institusi-institusi pelaburan yang membeli risiko pinjaman daripada bank-bank ini.

Antaranya ialah  Lehman Brothers, Bear Stearn, Merrill Lynch dan ada yang terpaksa diselamatkan atau ’ bail out ’ oleh kerajaan Amerika termasuklah Fannie Mae dan Freddie Mac. Akibatnya memberi impak yang besar terhadap keyakinan ekonomi yang terasa di seluruh dunia dan memberi kesan negatif termasuk ekonomi Malaysia. Kemelesetan ekonomi dunia sudah melanda.

Kenapa saya bercakap mengenai hal-hal sebegini? Mungkin kerana saya boleh memahami keadaan di sana kerana pernah belajar di Amerika. Saya boleh memahami pemikiran orang-orang Amerika samada dari segi perkara yang positif dan juga berkenaan yang negatif. Amerika adalah negara yang menyediakan pelbagai landasan yang baik untuk pemburu impian.

Cumanya kita mesti mengambil contoh tauladan yang baik dan menjauhi perkara-perkara yang tidak baik. Tiada tempat untuk perniagaan mengambil untung atas angin atau secara spekulasi. Mungkin keuntungan itu ada tetapi hanya secara jangka pendek dan berisiko tinggi. Tetapi hasil dari pemerhatian saya, ramai juga orang ’ berniaga ’ cara ini terutama yang mendapat kontrek kerajaan dan sebagainya.

Bukan sahaja ianya tidak memberikan kebaikkan kepada individu tersebut kerana dengan cara begitu, dia tidak akan mendapat kemahiran melainkan sekiranya dilakukan sendiri. Dari segi jangka panjang pula, matlamat kerajaan untuk menghasilkan usahawan berpengetahuan tidak akan tercapai.

Saya pula telah memulakan perniagaan pada tahun 1998 dimana berlakunya kemelesetan ekonomi dunia terutama di Asia Tenggara  yang menerima kesan yang teruk akibat spekulasi mata wang yang bermula di Thailand. Walau pun keadaannya berbeza tetapi kesannya tetap sama.

Dengan keadaan yang tidak menentu dan banyak negara menghadapi ekonomi meleset, dana perniagaan sukar didapati, produktiviti yang rendah dan orang ramai berhati-hati untuk berbelanja, Adakah Anda Mahu Memulakan Perniagaan Sekarang ?

Saya berpegang kepada pepatah yang mengatakan ” Dimana ada krisis, disitu juga ada peluang ”. Mungkin keadaan seperti ini memberi peluang untuk anda memulakan sesuatu perniagaan untuk menjadi seorang usahawan yang berjaya. Saya telah memulakan perniagaan pada tahun 1998 dan tahun 2009 pula merupakan tahun terbaik saya setakat ini walau pun dalam keadaan ekonomi dunia dan Malaysia yang meleset.

Anda mungkin bertanya bagaimana?

Categories: Usahawan

Si Penakut !

April 27, 2010 5 comments

Takut……

Bercakap di khalayak ramai

Bersikap tegas

Membuat keputusan

Menukar pekerjaaan

Berseorangan

Meningkat usia

Memandu

Dan lain-lain lagi.

Adakah anda mempunyai perasaan takut seperti yang tersenarai di atas? Mungkin sebahagian daripadanya atau kesemuanya sekali atau lebih banyak lagi? Rasa takut seolah-oleh menjadi seperti satu wabak dalam kehidupan kita. Kita takut sesuatu permulaan, kita takut sesuatu pengakhiran, kita takut kejayaan, kita takut kegagalan, kita takut kehidupan, kita takut kematian, seolah-olah semua perkara kita takut. Mungkin disebabkan sejak dari kecil lagi kita sering dipertakut-takutkan dengan cerita-cerita hantu, orang-orang yang garang dan lain-lain lagi.

Saya juga pernah melalui perasaan takut untuk membuat satu keputusan yang besar dalam hidup. Tetapi perasaan takut itu dapat saya atasi dengan bantuan seorang sahabat.

Pada satu hari ketika fikiran saya sudah buntu kerana memikirkan satu perkara yang sangat rumit, tergerak hati saya untuk menemui seorang sahabat yang sudah lama tidak bertemu. Dia bekerja di sebuah syarikat multinasional yang besar sebagai seorang pengurus. Pejabatnya tidak jauh dari tempat saya bekerja. Saya mengenali dia melalui kawan sekolej saya dahulu yang kebetulan bekerja di tempat yang sama dengannya. Saya menjadi rapat dengannya dan sering bertukar-tukar fikiran mengenai apa-apa isu yang menarik perhatian kami.

Saya tahu dia selalu bekerja sehingga melewati waktu pejabat dan kadang-kadang hingga ke malam. Saya pernah bertanya kenapa rajin sangat bekerja walhal dua tiga tahun lagi dah nak pencen. Beliau hanya tersenyum tanpa memberikan jawapan. Sebab itulah saya sengaja memilih untuk menemuinya selepas waktu pejabat supaya tidak ada gangguan semasa berbincang nanti.

Dia seperti biasa sentiasa tersenyum apabila menyambut kedatangan saya di pejabatnya. Raut wajahnya menampakkan ciri-ciri seorang yang amat tenang. Selepas masing-masing bercerita mengenai situasi terkini diri dan keluarga , cerita seterusnya berkisar kepada keadaan negara dan dunia pula. Akhirnya perbualan tertumpu kepada pekerjaan dan hala tuju kehidupan. “ Mesti ada sesuatu hal yang penting datang berjumpa saya hari ni “, kata sahabat saya. Saya angguk-angguk kepala tanda setuju. Sebenarnya saya perlukan pandangannya mengenai satu keputusan yang perlu saya buat dengan segera.

Saya mula bercerita mengenai impian saya untuk berhenti bekerja makan gaji dan menjadi seorang usahawan. Tetapi saya sering diganggu oleh perasaan takut yang bermain didalam fikiran. Seolah-olah ada satu suara dalam kepala yang tidak henti-henti memberi tahu , “ Jangan berani-berani menukar situasi sekarang ini, tiada apa untuk kamu di luar sana, kamu tidak akan berjaya”. Suara yang sentiasa memberi amaran, “ Jangan mengambil risiko. Kamu tentunya akan membuat kesilapan, kamu akan menyesal nanti”.

Dia merenung tajam ke arah saya dan kemudiannya tersenyum. Tidak ada sebarang reaksi terkejut daripadanya seperti mana yang saya awal-awal lagi jangkakan. ” Sudah sampai masanya ”, kata sahabat saya ini, ” kamu ni bukan jenis orang yang suka mengambil arahan dari bos, lagi pun baguslah ada orang Islam berniaga ”, sambungnya lagi. Saya rasa ini pandangan dia terhadap diri saya hasil dari interaksi antara kami selama ini. ” Insyaallah saya boleh ketemukan dengan seseorang yang boleh membantu mengatasi perasaan takut tu, jangan risau ”, katanya lagi sambil mencari-cari sesuatu di antara fail-fail dan buku-buku di atas meja.

Saya agak dia sedang mencari kad nama kenalan-kenalan pakar motivasi atau kawan-kawan yang berpengalaman yang boleh membantu saya. ” Hah ini dia , sudah jumpa pun orang itu, sekarang masaalah kamu akan selesai ”. Amboi kata saya dalam hati, bergurau ke sahabat aku ni. ” Sekarang pandang sini, inilah orangnya ” , kata sahabat saya sambil menunjukkan satu cermin muka besar kepada saya. Saya melihat wajah saya sendiri dalam cermin itu, wajah kerisauan dan kurang keyakinan diri, wajah yang menunjukkan ada perasaan takut. ” Itu lah orang yang dapat menolong kamu, orang lain hanya boleh membantu sikit-sikit tapi yang betul-betul dapat membantu kamu ialah orang dalam cermin ini, faham tak ? “ .

Sebenarnya itulah titik permulaan bagi saya untuk berubah. Saya seperti mendapat satu kekuatan baru. Satu kesedaran yang pelik lagi ajaib muncul memberikan kelegaan dan ketenangan kepada saya. Tanpa saya sedari, saya telah membuka pintu kepada kekuatan dalaman diri saya yang selama ini seolah-olah tidak pernah wujud. Suara negatif yang selalunya sangat dominan itu tidak bersuara kali ini seolah-olah bersembunyi dari saya, sekurang-kurangnya untuk sementara waktu ini. Satu suara baru yang positif mula mengambil tempat . Suara yang memberikan keyakinan dan kekuatan diri.

Categories: Uncategorized

Apa Itu Usahawan ?

April 27, 2010 Leave a comment

Sekiranya anda bertanya kepada usahawan-usahawan yang berjaya dan jujur mengenai bagaimana mereka mencapai kejayaan, mereka akan memberitahu anda bahawa kejayaan mereka adalah kerana keghairahan atau passion mereka dan juga nasib. Saya tidak berapa suka sangat menggunakan perkataan ’ nasib ’ , saya lebih gemar menggunakan perkataan keajaiban.

Bagi saya, keajaiban adalah sesuatu yang tidak pernah kita jangkakan kemunculannya. Kemunculannya pula kerana ada sebab-sebab tertentu. Salah satu sebabnya ialah kerana ada usaha gigih seseorang itu. Nasib atau keajaiban sahaja tanpa sifat keghairahan dalam melakukan sesuatu untuk berjaya tidak akan membawa kita jauh kehadapan. Namun sifat keghairahan dalam diri semata-mata tanpa sedikit nasib yang menyebelahi kita iaitu keajaiban bantuan dariNya mungkin menyebabkan kita gagal untuk memulakan sesuatu perniagaan.

Anda mungin bertanya, ’ Bagaimana dengan kaum-kaum yang tidak percaya pada Tuhan? ’, tetapi tetap berjaya dalam dunia perniagaan. Jawapan saya, ’ Tuhan itu Maha Pengasih lagi Maha Penyayang ’. Fikirkan Firman Tuhan dalam Surah Ar R’ad Ayat 11: ” …..Allah sekali-kali tidak akan mengubah nasib sesuatu kaum itu selagi kaum itu tidak mengubah apa yang ada dalam diri mereka….”. Kaum yang berusaha mengubah keadaan mereka tidak kira siapa pun, akan mendapat ganjarannya.

Saya berpendapat, kita memerlukan kedua-duanya. Hal ini berlaku kepada diri saya. Bagaimanakah kita boleh mendapat keajaiban pertolongan Tuhan sekiranya kita awal-awal lagi tidak mahu berusaha kearah mengubah nasib kita?  Namun begitu, bukanlah keajaiban itu seperti sesuatu yang turun dari langit. Ianya mestilah dituruti dengan usaha yang gigih.

Categories: Uncategorized